Shafiq membungkam di hujung katil. Mukanya kelat tidak terkira. Puas hatinya dapat menghempas pintu bilik sekuat hati menzahirkan perasaannya yang memberontak tidak setuju! Kata-kata yang baru didengarinya tadi amat menyesakkan jiwa. Geram, marah, sedih dan kecewa semuanya bercampur baur bagai menghiris-hiris pedih ulu hatinya.
Kenapa baru sekarang ? Sedangkan selama ini dia begitu bebas
untuk melakukannya tidak kira masa asal saja bukan lewat malam. Shafiq
betul-betul kecewa. Biar dihalang untuk perkara lain tapi tolonglah bukan yang
satu ini! Kebahagiaanya bagai direntap tanpa belas.
Perasaan kecewa yang bersilih ganti itu akhirnya menyebabkan
matanya mula berkaca. Mukanya terasa panas dan dia yakin kulit wajahnya sudahpun
bertukar warna. Daun pintu yang baru dihempas sekuat hatinya tadi ditenung
tajam seolah pandangan matanya boleh bolos melihat susuk di luar sana. Dadanya
berombak kencang menahan perasaan sebal yang tidak terperi itu sambil cuba
menahan air mata lelakinya agar tidak gugur. Kedua tangannya digenggam geram.
Dalam geram otaknya tetap berfikir ligat cuba mencari jalan.
Dia perlu mencari jalan untuk mendapatkan kembali ‘kebahagiaan’nya itu.
Ya.. dia harus mencari jalan !
*****************************************************************************
Petang itu dirasakan berlalu begitu panjang. Lebih panjang dari kelaziman. Hari ini Shafiq sanggup melupakan ‘temujanji’nya
di taman seberang jalan biarpun dari jauh ternampak kelibat rakan-rakannya terkinja-kinja bagai berpesta keriangan. Biarlah kali ini temujanji itu dibatalkan yang
penting segalanya harus diputuskan hari ini. Dia tidak mahu kekecewaan ini
berterusan. Dia perlu melakukan sesuatu demi mendapatkan kembali haknya. Ya,
hak dan kebahagiaannya !
Tidak lama kedengaran deruman enjin VVTi 2.4 liter buatan
negara matahari terbit itu berlabuh di garaj kereta. Shafiq tidak sabar lagi
untuk bertemu dengan pemilik kereta itu. Biar segalanya terlerai hari ini. Dia
perlu membuat perhitungan. Sehari suntuk dia memerah otak memikirkan tawaran
terbaik untuk menambat hati lelaki itu. Dia sudah memikirkannya masak-masak.
Dia begitu yakin pemilik kenderaan itu akan bersetuju dan dia pasti akan dapat
mengembalikan semula hak dan kebahagiaannya yang hampir berkecai.
“Ayah, jika Shafiq berjaya menyiapkan semua latihan dan
kerja rumah di sekolah Shafiq boleh bermain game di rumah.
Tapi jika Shafiq tak siap kerja sekolah, Shafiq tidak boleh dan tidak akan
minta pun untuk bermain game di komputer itu. Itu rule Shafiq.
Bolehkan Ayah ? ”
Lancar 'tawaran' itu meluncur keluar dari mulut Shafiq penuh mengharap sejurus wajah ayahnya tersembul
di muka pintu...
